Wanita cetus suara baharu protes petani India

Petani yang melakukan protes membina khemah di sepanjang lebuh raya menuju ke New Delhi yang disekat. - Foto AFP
Petani yang melakukan protes membina khemah di sepanjang lebuh raya menuju ke New Delhi yang disekat. – Foto AFP

KUNDLI: Landskap luar bandar di India kebiasaannya di kuasai lelaki, namun ribuan golongan wanita menjadi asas protes petani yang menghalang jalan raya ke New Delhi, yang kini menjadi cabaran besar buat kerajaan negara itu.

Wanita daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dan usia, daripada menguruskan lembu atau bekerja di ladang, hinggalah golongan profesional di bandar dan nenek berkerusi roda, sanggup berdepan cuaca sejuk bagi menggesa kerajaan India membatalkan reformasi pasaran.

“Saya berjuang untuk anak dan cucu saya,” kata Parminder Kaur, 40, yang melaungkan slogan di himpunan pada waktu siang, dan membantu membuat capati dan kari pada waktu petang untuk memberi makan kepada puluhan ribu penunjuk perasaan.

Secara tradisinya, wanita menjadi tulang belakang tanpa suara dalam pertanian India, bekerja tanpa sebarang pengaruh.

Beberapa kajian berulang-kali menunjukkan bagaimana mereka menderita akibat kemiskinan, diskriminasi dan keganasan rumah tangga.

Menurut kumpulan aktivis antikemiskinan Oxfam, kira-kira 85 peratus wanita di kawasan luar bandar terbabit dalam aktiviti pertanian, namun hanya 13 peratus memiliki tanah.

Namun, Kaur jelas bangga melihat bagaimana golongan wanita ‘saling membantu’ dengan lelaki untuk mempertahankan kebajikan mereka.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, berdepan tekanan susulan tiga undang-undang yang membolehkan petani menjual hasil ke pasaran bebas, selepas berdekad menyalurkan gandum dan beras melalui pasaran dikawal negeri dengan jaminan harga minimum.

Modi menegaskan, reformasi itu akan menarik pelaburan yang amat diperlukan dalam sektor berkenaan, yang membabitkan pekerja seramai dua pertiga daripada 1.3 bilion populasi India, namun hanya menyumbang kira-kira 15 peratus kepada ekonomi negara itu.

Bagaimanapun, pemimpin petani mendakwa perubahan itu akan menyebabkan perniagaan pertanian diambil alih konglomerat India.

Keluarga Kaur memiliki kira-kira 8,000 meter persegi tanah yang ditanam gandum.

“Tanah ini adalah segala-galanya untuk kami, ia seperti ibu kami. Mereka mahu merampas ibu kami, takkan kami mahu berdiam diri,” kata Kaur.

Rana Bhatti daripada keluarga petani di Haryana, berkata protes itu menjadi cara untuk golongan wanita menunjukkan kekuatan mereka.

“Saya rasa inilah masanya untuk kami berdiri di hadapan dan mengemudi usaha mencabar kerajaan yang sombong ini,” katanya yang mengetuai sekumpulan wanita memegang bendera dan pelekat, yang antaranya tertulis ‘Tiada petani, tiada makanan, tiada masa depan’. – AFP

Source: Wanita cetus suara baharu protes petani India (bharian.com.my)

  • 1,101